Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Hari ini saya nak share satu artikel yang sangat bagus tentang bagaimana salah satu kaedah untuk membentuk keperibadian ialah dengan menjaga pemakanan.

————————————————————————————————–

Suatu hari, Abu Bakar as-Siddiq dihadiahi makanan oleh seorang lelaki. Abu Bakar mengenalinya kerana dia selalu memberi makanan. Apabila dia datang membawa juadah, Abu Bakar terus memakannya. Lelaki itu bertanya, “Selalunya tuan akan bertanya mengenai sumber makanan yang saya bawa. Tetapi mengapa hari ini tuan tidak bertanya?”  Abu Bakar menjawab, “Saya terlalu lapar sehingga terlupa hendak bertanya. Cakaplah, dari mana kamu dapat makanan ini?”

Lelaki itu memberitahu, sebelum dia Islam, kerjanya sebagai tukang tilik. Kadangkala orang yang ditilik nasibnya tidak boleh membayar wang. Mereka berjanji akan membayar apabila ada duit. Hari itu dia bertemu mereka dan merekalah yang memberinya makanan tersebut.

Abu Bakar terkejut. Dia berusaha mengeluarkan makanan yang telah dimakannya. Ada sahabat yang mencadangkan supaya dia mengisi perut dengan air dan kemudian memuntahkan makanan yang ditelannya tadi. Akhirnya makanan itu berjaya dimuntahkan keluar. Seorang sahabat menegur, “Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mu. Kamu begitu bersusah-payah kerana makanan yang sedikit ini.”

Balas Abu Bakar, “Saya akan paksanya keluar walaupun saya mungkin kehilangan nyawa. Saya pernah dengar Rasulullah berpesan, “Badan yang tumbuh subur dengan makanan haram akan dibakar api neraka. Sebab itulah, saya memaksa makanan itu keluar, takut kalau-kalau ia menyuburkan badan dengan makanan haram.”

Berikut beberapa aspek mengenai makanan yang perlu kita berikan perhatian:

1. Makanan halal dan baik

Mencari halal dan baik adalah tuntutan Islam. Makanan halal bukan sahaja elok pada rupa dan enak pada rasa tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Makanan yang baik pula bermakna makanan yang memberikan manfaat kepada keperluan tubuh badan, akal dan emosi. Oleh itu, apa sahaja makanan yang boleh merosakkan pertumbuhan fizikal, kesihatan mental atau akal serta menjejaskan emosi, diharamkan.

Kebanyakan kita boleh dikatakan arif dalam memilih makanan. Makanan pilihan kita adalah yang mengikut kemampuan, keinginan dan selera. Ramai yang hanya melihat kelazatan dan khasiat tetapi kurang meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan, terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat. Hal itulah yang perlu kita berikan perhatian sekarang.

2. Makanan yang menjamin kesihatan

Islam menitikberatkan kesihatan umatnya. Muslim yang prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanannya akan turut menjaga kebersihan diri termasuk pakaian, tempat tinggal dan tubuh badan. Islam juga memberikan garis panduan dalam memilih makanan bersih dan halal. Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan. Selain memilih makanan berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari segi syariat agama. Ini selaras dengan sabda Rasulullah dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi bermaksud, “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”

3. Makanan haram dan syubhah

Makanan haram (seperti makanan yang campur najis) atau makanan syubhah (daripada sumber diragui), boleh mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya:

  • Makanan itu boleh mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat serta membenci amal kebajikan dan ketaatan.
  • Doanya tidak akan dimakbulkan Allah
  • Akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.

4. Makan sekadarnya sahaja

Rasulullah menyarankan supaya kita mengisi perut dengan satu per tiga air, satu per tiga makanan dan satu per tiga lagi udara. Kaedah ini bertepatan dengan ilmu sains dan kesihatan yang perlu diamalkan manusia. Kadar itu bukan saja membolehkan kita menikmati rasa kenyang tetapi juga hidup dengan rahmat dan reda Allah. Oleh itu, apabila makan, ambil sekadar yang perlu untuk mendapatkan tenaga yang mencukupi. Ini kerana apabila terlalu kenyang, menyebabkan kita malas hendak bekerja dan beribadat.

5. Makanan yang bersih

Makanan yang bersih insya-Allah akan memberikan kesan kepada tubuh sama ada dari segi fizikal dan mental. Oleh itu, elakkan diri daripada mengambil makanan yang lama terdedah, dari tin berkarat, makanan yang tercemar dan lain-lain. Makanan yang suci yang masuk ke tubuh secara tidak langsung akan mempengaruhi kesihatan dan kekuatan diri.

Tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina, dalam bukunya Qanun fi al-Tibb yang pernah digunakan 700 tahun lalu di Eropah sebagai bahan bacaan wajib perubatan menyatakan, apabila makanan kita halal dan baik, maka jasmani akan sihat. Apabila jasmani sihat, kita dapat terus beribadah kepada Allah dan rohani akan sihat.

6. Makanan punca penyakit

Kajian kesihatan menunjukkan kebanyakan orang Islam menderita kencing manis, darah tinggi dan jantung. Malah dipercayai tiga nisbah 10 orang Islam menghidapi penyakit ini. Penyakit yang singgah ke tubuh manusia biasanya berkaitan dengan apa dimakan. Dalam suatu kisah, dinyatakan Raja Negus menghantarkan tabib untuk berkhidmat kepada Rasulullah. Ketika menerima kedatangan tabib itu, Rasulullah memberitahunya bahawa baginda dan sahabat sangat menjaga perut kerana perut adalah wadah pelbagai penyakit.

Tip makan untuk kesihatan mengikut amalan perubatan Islam:

  • Makan apabila rasa lapar.
  • Basuh tangan dan kuku sehingga bersih dengan air dan seboleh-bolehnya dengan sabun.
  • Mulakan makan dengan bacaan ‘Bismillahirrahmanirrahim’
  • Makan dengan tangan sebagai ganti sudu dan garpu. Makan dengan tangan digalakkan kerana ia dapat membantu penghadaman berikutan wujudnya aliran yang dipanggil ‘bio-current’ yang apabila tangan tersentuh dengan makanan, akan bertindak sebagai enzim untuk menghadamkan makanan dengan cepat di dalam perut. Itulah sebabnya mengapa makanan yang disentuh dengan tangan cepat basi.
  • Peruntukkan waktu makan hanya untuk makan. Tenangkan fikiran dan badan supaya dapat menikmati makanan dengan lebih teratur.
  • Berhenti makan sebelum kenyang. Perut terlalu kenyang  boleh memudaratkan jantung, menjejaskan penghadaman dan menyukarkan tidur.
  • Berehat sekejap selepas makan dan jangan tergesa-gesa membuat sesuatu.
  • Banyak ambil makanan segar. Sediakan makanan yang segar, lazat, menarik pandangan dan berlainan jenis setiap kali waktu makan.
  • Seringlah bermanis muka ketika menghidangkan makanan, memakai pakaian bersih dan berwarna indah.
  • Pastikan dapur bersih daripada kuman dan tutup makanan.
  • Berpegang pada prinsip ‘makan untuk hidup dan beribadah, bukan hidup untuk makan.’

Kredit to: http://maskulin.karangkraf.com/spiritual-makanan-berkat-bentuk-keperibadian-1.145774

Dapatkan Al-Quran Dengan Panduan Waqaf & Ibtida’ Bertajwid di http://amirahonlinestore.com/?p=waqaf_ibtida&s

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s