Mancing kat Pulau Kelang

Memancing di Pulau Kelang.

Pada 19 haribulan Mei 2008, aku telah mengikuti kawan-kawan aku pergi memancing ke Pulau Kelang bersebelahan dengan Pulau Ketam tetapi kalau ada orang yang bertanya aku memancing di mana? Aku lebih senang memberitahu aku memancing di Pulau Ketam kerana nama Pulau Ketam lebih dikenali orang daripada nama Pulau Kelang.

Sebenarnya hari ini adalah merupakan cuti umum Hari Wesak. Sebelumnya aku telah pulang ke Sungai Besar. Dan balik semula ke Pulau Indah semata-mata ingin pergi memancing dan memperolehi pengalaman.

Sebenarnya aku telah sampai ke lokasi tersebut sebanyak dua kali. Trip kali pertama aku pergi dengan Cik Mad bersama-sama dengan cikgu-cikgu dari Sekolah Kebangsaan Johan Setia. Dan pada kali ini aku mengikuti pula trip bersama guru dari Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Kelang.

Aku bersama Firdaus bergerak dari rumah sewa kami di Pulau Indah selepas menunaikan solat subuh dan berhenti sebentar di sisi Taman Teluk Gedung Indah untuk mengambil dua orang lagi rakan si Firdaus. Kami sampai di Tanjung Harapan lebih kurang pada pukul 7.30 pagi. Sambil menunggu kedatangan Cik Rosli kami bersarapan terlebih dahulu di sebuah kedai makan di sana.

Lebih dalam jam 9 pagi Cik Rosli telah sampai, dan selepas bersarapan kami terus menuju ke jeti pengkalan Persatuan Pengail Pelabuhan Kelang.

Apabila kami sampai di jeti, bot yang akan membawa kami memancing masih belum lagi dikeluarkan dari jeti, dan pada masa itu air telah pun surut dan menyebabkan bot tersebut hampir terkandas. Dan Cik Rosli telah berkata mungkin kami akan susah hendak mengeluarkan bot tersebut. Jadi kami seramai 6 orang termasuk Cik Rosli telah turun ke dalam lumpur dan menolak bot tersebut masuk ke dalam air.

Akhirnya kami selamat sampai ke dalam Pulau Kelang, dan Cik Rosli terus menjala untuk mendapatkan umpan udang segar yang hidup. Setelah hampir satu jam menjala udang barulah kami bergerak ke lokasi untuk memancing.

Dipendekkan cerita, Alhamdulillah kami merasa sangat berpuashati dengan trip pada kali ini, Alhamdulillah aku juga telah dapat merasakan bagaimana seronoknya menaikkan ikan pari.

Pada jam 4 petang kami pulang ke pengkalan, dan menunaikan solat jamak takhir. Kami mengambil semua hasil tangkapan tersebut. Dan sesuatu yang tidak terduga telah berlaku, di mana kami secara spontan telah membeli sebuah peti ais. Memang tidak terduga langsung yang kami akan membeli sebuah peti ais selepas penat seronok memancing.

Leave a comment